Jenayah & Mahkamah

Suami isteri ditahan miliki dadah lebih 6kg

KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri ditahan selepas polis menemui dadah lebih enam kilogram di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan, di sini.

Dalam serbuan itu polis turut menyita kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan RM1.05 juta.

Menurut BH Online, Lelaki berusia 34 tahun bersama isterinya berusia 37 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 1 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan dilakukan hasil intipan dijalankan pihaknya berkaitan aktiviti pengedaran dadah itu.

Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui lebih 5.7 kilogram pil yaba bernilai RM720,000 dan 631.91 gram erimin 5 bernilai RM48,000 dengan rampasan dianggarkan bernilai RM768,000.

“Selain dadah, kita turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI 2.0, kereta Honda Jazz, sebuah Yamaha RXZ, dua motosikal Yamaha Y15ZR, satu motosikal Honda Vario, barangan kemas dan wang tunai RM79,000 dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.05 juta.

“Sitaan dilakukan kerana mengesyaki semua aset terbabit diperoleh daripada hasil aktiviti pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.

Mohd Khairi berkata, semua dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 48,000 penagih dadah dan dipercayai bekalan dadah itu untuk pasaran negeri ini.

Pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati pasangan berkenaan negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek dipercayai aktif dalam aktiviti berkenaan bermula awal tahun ini dan kita tidak menolak kemungkinan adanya sindiket.

“Suspek lelaki yang juga seorang peniaga dan isterinya kini direman selama tujuh hari hingga 8 September depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini adalah rampasan terbesar dadah di Terengganu pada tahun ini dan kita akan sentiasa komited memerangi sindiket pengedaran dadah dalam memastikan matlamat menjadikan negeri ini bebas daripada gejala negatif ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button