Paralimpik Paris : Liek Hou hadiahkan emas pertama negara
PARIS – Atlet perseorangan badminton negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Paralimpik 2024 di Arena Porte de La Chapelle, Paris, Perancis.
Liek Hou merai kemenangan itu melalui pertemuan dengan Indonesia, Suryo Nugraho malam tadi selepas menang 21-13, 21-15 dalam perlawanan selama 41 minit.
Dengan kemenangan itu, pemain berusia 36 tahun tersebut berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
Kejayaan memenangi emas kali ini menyaksikan juara dunia lapan kali itu bakal menerima ganjaran sebanyak RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Sementara itu, seorang lagi wakil negara iaitu Fareez Anuar kecundang dalam perlawanan penentuan pingat gangsa selepas kalah kepada wakil Indonesia, Dheva Anrimusthi.
Bermula baik dengan memenangi set pertama 21-17, Fareez kemudiannya kecundang 19-21 sebelum kalah 12-21 pada set penentuan.
Ia merupakan pingat emas negara pertama di Sukan Paralimpik 2024 dan pingat kedua keseluruhan selepas pingat pertama disumbangkan oleh Eddy Bernard menerusi acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal).