Berita Semasa

Bukan dihalau, IPD Melaka Tengah pindah sebab bangunan lama tidak selamat diduduki

MELAKA – Polis Melaka menafikan dakwaan dihalau daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke bangunan sementara di Batu Berendam, di sini oleh kerajaan negeri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata, dakwaan yang tular menerusi satu klip video yang dimuat naik di aplikasi Tik Tok dan Telegram itu adalah satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka.

Beliau berkata, sehubungan itu, satu laporan polis sudah dibuat di Melaka Tengah hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bangunan IPD Melaka Tengah lama di Banda Hilir, di sini digunakan sejak 1924 sebagai pejabat pentadbiran kerajaan British sebelum diserahkan kepada polis pada 1948 yang mana usia bangunan terbabit sudah 100 tahun.

“Kini bangunan berkenaan tidak lagi selamat untuk digunakan serta memerlukan kos yang tinggi untuk proses pembaikan kerosakan.

“Keluhan dari warga IPD Melaka Tengah dan masyarakat yang sering berurusan di bangunan IPD sedia ada tidak kondusif dan tidak ekonomikal untuk dibaik pulih.

“Justeru, atas rasa tanggungjawab, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah melakukan beberapa siri lawatan di IPD terbabit bagi melihat sendiri keadaan semasa di bangunan berkenaan dan atas keprihatinan serta inisiatif beliau.

“Perkara itu disuarakan ke peringkat tertinggi kerajaan dan hasilnya adalah kerajaan bersetuju serta meluluskan penempatan sementara untuk IPD Melaka Tengah yang baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak semalam, tular video berdurasi 1:40 minit yang mendakwa warga polis di bangunan IPD Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini dihalau oleh kepemimpinan negeri kononnya premis berkenaan sudah dijual kepada tauke Cina.

Semua anggota didakwa diarah berpindah serta-merta di Wisma Amanah yang dikatakan tidak mempunyai sebarang kemudahan termasuk bekalan elektrik dan air selain ketiadaan perabot dan Sijil Layak Menduduki (CF).

Mengulas lanjut, Zainol berkata, cadangan pembinaan kompleks IPD yang baharu tetap diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan ke-5.

“Justeru, demi memastikan keselamatan warga PDRM serta keselesaan orang awam yang datang berurusan di IPD Melaka Tengah, kerajaan bersetuju untuk memindahkan operasi IPD berkenaan ke bangunan sementara sehingga menunggu kelulusan bagi pembinaan bangunan yang baharu.

“Bangunan sementara ini amat sesuai dan selamat digunakan memandangkan ia turut mempunyai Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003.

“Kini bangunan terbabit sudah dibaik pulih hampir 96 peratus oleh kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk dijadikan sebagai ruang pejabat bagi memastikan kesediaan IPD Melaka Tengah beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

Katanya, pihak polis akan terus menguatkuasakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah serta menyebarkan sebarang berita palsu dalam platform media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button