Berita Semasa

Tiada kes baharu mpox dilaporkan – KKM

PUTRAJAYA – Tiada kes baharu membabitkan cacar monyet atau mpox dilaporkan setakat hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Walaubagaimanapun, menurut Dr. Dzulkefly, sebanyak 31 kes disyaki mpox telah dikesan dengan 25 individu didapati negatif, manakala baki enam lagi masih dalam pemantauan.

“Kes mpox kekal sembilan kes dengan kesemua kes direkodkan pada tahun lalu. Setakat Disember 2023 hingga sekarang, tiada kes baharu dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamed Salim Fateh serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan MCMC di KKM, Putrajaya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

MIH Megatrends 2024, anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare, bertujuan untuk menghimpunkan barisan pemain industri penjagaan kesihatan global, profesional, inovator dan pembuat dasar.

Persidangan yang bakal diadakan pada 25 hingga 27 Oktober itu akan menghimpunkan lebih daripada 30 penceramah global untuk membincangkan kemajuan teknologi terkini, bertukar ilmu pengetahuan dan memupuk kerjasama untuk meningkatkan kualiti, aksesibiliti dan kemampanan penjagaan kesihatan.

Tambah Dr. Dzulkefly, acara ini akan menjadi platform penting untuk berkongsi kemajuan dan inovasi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit dan memperbaiki sistem penjagaan kesihatan.

“Penglibatan berterusan daripada sektor swasta, terutamanya melalui kerjasama awam-swasta telah menjadi pemangkin dalam melengkapkan usaha ini, demi memastikan penjagaan kesihatan yang berkesan dan berjaya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, tahap peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan kanser, yang juga dikenali sebagai wabak NCD, merupakan faktor utama yang menyumbang kepada beban penyakit yang memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

“Strategi kami untuk menangani cabaran ini termasuklah memperbaiki perkhidmatan penjagaan utama kami dan memberi prioriti kepada inovasi berasaskan data, satu pendekatan yang sedang giat diusahakan oleh KKM melalui agenda pendigitalannya.

“Melangkah ke hadapan, kami percaya MIH Megatrends 2024 akan membuka jalan untuk pemeteraian kerjasama menuju kesihatan yang lebih baik untuk semua, terutamanya melalui pendekatan inovatif dan terancang dalam menangani cabaran kesihatan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button