JBPM kuat kuasa Akta 341, periksa 15 stesen MRT
PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah stesen Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara telah diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 21 dan 22 Ogos lalu dalam usaha untuk menguatkuasakan Akta 341 (Akta Perkhidmatan Bomba 1988) bagi Perakuan Bomba di premis ditetapkan.
JBPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan terdapat beberapa isu telah dikenalpasti yang memerlukan penambahbaikan oleh pemilik premis.
“Antaranya adalah penambahbaikan pada sistem siar raya, panel utama sistem pencegahan kebakaran, ‘pressurerise system’ pada tangga keselamatan, ‘fire fighting lobby’ serta lampu kecemasan yang tidak berada dalam kondisi yang sepatutnya,” katanya.
Pemeriksaan yang bermula pada pukul 12.30 tengah malam sehingga pukul 4.30 pagi itu diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Mohamad Hamizal Ainuddin.
Selain itu, JBPM berkata, pemeriksaan di 15 buah stesen MRT itu juga adalah sebagai salah satu langkah kesiapsiagaan dalam memastikan Sistem Perkakasan Keselamatan Kebakaran di premis berfungsi dan berada dalam keadaan baik.
“Pemeriksaan ini juga dilakukan bagi memastikan Pelan Tindakan Keselamatan Kebakaran berada dalam keadaan baik semasa insiden atau kebakaran yang merupakan perkara utama di dalam memastikan keselamatan nyawa juga harta benda.
“Kesemua penemuan akan direkodkan serta notis FC6 (Notis Memberitahu Tentang Keperluan-Keperluan Yang Perlu Dipatuhi) akan dikeluarkan kepada pihak premis bagi tujuan pematuhan,” katanya.
Tambah JBPM, pemeriksaan yang dilakukan di 15 stesen MRT ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak bagi memastikan sebarang insiden dan kebakaran yang berlaku dapat ditangani dengan baik.
“Operasi ini turut disertai oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Operasi JBPM Kuala Lumpur dan Ketua Balai Bomba. Pada masa yang sama, ‘Pre Insiden Plan’ premis dapat dikemaskini selain melaksanakan ujian peralatan kebombaan jabatan dan MRT Prasarana,” ujarnya lagi.