TLDM sahkan KD Pendekar alami kebocoran
Usaha sekarang laksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal
CYBERJAYA – Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan salah sebuah kapalnya, KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi di posisi 2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor.
Menurut TLDM dalam satu kenyataan sebentar tadi, kebocoran kapal yang membawa 39 anak kapal itu dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek di bawah air.
“Kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah TLDM, fokus utama ketika ini adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal.
Susulan kejadian, TLDM turut akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.
“Orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini,” kata TLDM lagi.