Berita Semasa

Kementerian Digital bakal tubuh Majlis Digital Malaysia-India, tingkat kerjasama teknologi digital

NEW DELHI – Kementerian Digital telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan India bagi menggalakkan pertukaran penyelesaian berasaskan teknologi digital Malaysia-India.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, susulan pelaksanaan MoU tersebut, Majlis Digital Malaysia-India (MIDC) akan ditubuhkan.

Gobind berkata, terma rujukan MoU itu akan ditentukan bersama sebaik sahaja ia diwujudkan.

“Antara inisiatif dalam MoU itu ialah perkongsian pengalaman dan pertukaran kepakaran teknikal dalam infrastruktur awam digital (DPI).

“Selain itu, penyelesaian e-governance, dasar dan pendekatan kawal selia yang berkaitan dengan teknologi digital dan meneroka perniagaan ke perniagaan (B2B) serta kerjasama perkongsian antara Persatuan Industri kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Gobind mengikuti lawatan rasmi tiga hari ke India bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, MIDC juga akan melihat kerjasama antara ekosistem syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan keuntungan pelaburan di kedua-dua negara, sekali gus mewujudkan hubungan antara organisasi berkaitan.

“MIDC juga akan mengenal pasti dan meneroka cara inovatif untuk menyampaikan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang berkaitan dengan bakat digital dalam teknologi digital baru muncul untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi,” katanya.

Tambah Gobind, selaras dengan arahan Perdana Menteri, kementeriannya akan meneroka kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam industri teknologi untuk melaksanakan tindakan bersama yang dinyatakan dalam MoU untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Pengukuhan hubungan dua hala dan kerjasama yang dipertingkatkan melalui MIDC dapat meningkatkan lagi ekonomi digital Malaysia, yang diunjurkan menyumbang sekurang-kurangnya 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia menjelang akhir 2025C,” katanya .

Sementara itu, Gobind turut menyaksikan dua pertukaran MoU antara NASSCOM, persatuan industri teknologi bukan untung di India, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM).

Show More

Related Articles

Back to top button