Berita Semasa

KPM sediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga Istiqomah

PASIR MAS – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menyediakan khidmat kaunseling kepada suami dan anak-anak Istiqomah Ahmad Rozi yang ditemui tanpa anggota badan yang lengkap pada 31 Disember tahun lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, selain bantuan kebajikan, kementerian juga mempertimbangkan keperluan sesi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa yang terkesan akibat kehilangan insan tersayang.

“Saya mewakili KPM hari ini hadir ke rumah Istiqomah untuk menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa.

“Dalam kesempatan ini saya turut menyampaikan sumbangan dan sokongan kepada keluarga dan akan mempertimbangkan beberapa aspek lain.

“Kita akan menyediakan kaunselor untuk keluarga dan berharap ia berkesan dan semoga keluarga tabah dengan ujian ini,” katanya memetik laporan Buletin TV3 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Istiqomah yang juga seorang guru di Kampung Dangar, di sini.

Katanya, kejadian yang menimpa Istiqomah sangat memberi kesan kepada kementerian memandangkan beliau dimaklumkan mangsa seorang guru yang sangat berdedikasi selain komited dengan tugas.

“Allahyarham mengajar subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sekolah rendah dan beliau seorang yang komited serta berdedikasi dalam tugas,” katanya.

Terdahulu, guru wanita yang dibunuh kejam dengan mayatnya ditemukan tanpa kepala, kaki dan tangan di Melaka tahun lalu, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kubang Badak, di sini.

Jenazah Allahyarhamah Istiqomah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas pada jam 11.50 malam tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button