Berita Semasa

Bernama meterai MoU dengan Perkeso, perluas perlindungan sosial pengamal media sambilan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan (stringers) melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), di sini, hari ini.

Bernama dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemeteraian MoU yang turut disaksikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menambah baik program perlindungan sosial, terutama bagi pengamal media yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas.

Katanya, seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara akan menerima manfaat daripada SKSPS dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 sen setiap individu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai lalu.

“SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan,” katanya.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin.

Hadir sama dalam majlis pemeteraian MoU itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Turut disampaikan, Nota Perlindungan Perkeso kepada 10 petugas media sambilan daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Astro AWANI, Media Prima Berhad, Utusan Malaysia, Makkal Osai dan Bernama.

Show More

Related Articles

Back to top button