Jenayah & Mahkamah

Remaja 13 tahun mengaku tidak bersalah bunuh teman wanita

TAWAU – Seorang remaja berumur 13 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Kalabakan, Januari tahun lalu.

Tertuduh, yang juga pemegang pasport Indonesia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, menurut BH Online.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Zahirah Safarudin, 13, (tiada dokumen pengenalan diri) dalam sebuah ladang kelapa sawit dekat Kalabakan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 10 hingga 14 Februari tahun hadapan untuk perbicaraan penuh dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Tertuduh sebelum ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pada 18 Januari tahun lalu sebelum kes didengar di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Difahamkan, mayat mangsa ditemukan di dalam parit dalam keadaan tangan diikat  dengan kesan luka di kepala, selain mangsa diturut disyaki dirogol.

Show More

Related Articles

Back to top button