Jenayah & Mahkamah

Polis Pulau Pinang sita 48 motosikal, keluarkan 195 saman

GEORGETOWN – Sebanyak 48 buah motosikal yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samseng jalanan telah disita Polis Pulau Pinang dalam satu operasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan selama lapan jam bermula jam 5 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti daerah Seberang Perai Utara serta Balai Polis Butterworth.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad operasi itu dijalankan bagi mencegah aktiviti samseng jalanan terutamanya kegiatan lumba haram di kawasan tersebut selain untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

“Hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 67 motosikal telah diperiksa dengan 48 daripadanya disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak 195 keping saman atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, semalam. – Foto Facebook PDRM Pulau Pinang

Sementara itu, Hamzah menegaskan, PDRM Pulau Pinang komited dalam membanteras aktiviti samseng jalanan bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Oleh itu, orang ramai khususnya golongan remaja adalah diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa jua aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam nyawa diri sendiri dan orang lain,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button