8,195 calon duduki SPMU pada 20 – 22 Ogos ini
PUTRAJAYA – Seramai 8,195 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2024 di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 20 hingga 22 Ogos ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, peperiksaan itu akan melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Sehubungan itu, KPM mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.
“Calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU 2024.
“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” kata kenyataan itu.
Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.
Menurut KPM, jadual waktu peperiksaan SPMU 2024 boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my