Kementerian Perpaduan beri galakan Muzium Automobil Nasional adakan program berimpak tinggi
SEPANG – Kementerian Perpaduan Negara memberi galakan agar Muzium Automobil Nasional (MAN) terus berusaha mengadakan pelbagai program dan aktiviti berimpak tinggi agar institusi muzium ini terus kekal relevan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata, usaha tersebut mampu dicapai menerusi program yang berinovatif dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini.
“KPN mengalakkan agar MAN akan terus berusaha mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang lebih kreatif, berimpak tinggi agar institusi muzium ini terus kekal relevan dan menjadi produk pelancongan di daerah Sepang dan juga di peringkat negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Program Semarak@Muzium Automobil Nasional 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, di sini, hari ini.
Program Semarak@Muzium Automobil Nasional 2024 merupakan program di bawah seliaan JMM dan julung kali dianjurkan oleh Muzium Automobil Nasional (MAN).
Antara pengisian menarik dalam program tersebut termasuklah Bicara Automotif dan pandu uji motor elektrik (EV) oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Selain itu, MAN turut mempamerkan koleksi kenderaan bermotor vintaj, klasik dan koleksi motor Electric Vehicle dengan kerjasama rakan-rakan NGO yang terpilih.
Mengulas mengenai Program Semarak@Muzium Automobil Nasional 2024, Azman berkata, ia merupakan salah satu inisiatif muzium untuk menyemarakkan peranan muzium dalam usaha menjalinkan hubungan dan kerjasama di antara komuniti tempatan, pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Institusi muzium mempunyai peranan yang lebih besar kepada masyarakat dengan bukan hanya menjadi pusat pembelajaran tidak formal, malah ia juga perlu memberi fokus kepada pelbagai pendekatan yang sesuai bagi memenuhi kehendak pelawat.
“Pelawat seperti pelajar, penyelidik, keluarga, kumpulan pelancong domestik dan luar negara serta pencinta warisan dan peminat koleksi permotoran yang merupakan antara produk pelancongan di Sepang,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, tahun ini genap 20 tahun MAN yang terletak di Litar Antarabangsa Petronas Sepang ditubuhkan.