Jenayah & Mahkamah

SPRM tahan seorang penguat kuasa sebuah jabatan disyaki terima rasuah RM120,000

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM120,000 untuk melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang-barang seludup.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan sekitar jam 4 petang dalam operasi yang dijalankan oleh SPRM Sabah di Pekan Keningau.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok di kawasan Keningau dan untuk melepaskan lori serta barangan seludup yang telah ditahan oleh pihak berkuasa,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu esok untuk permohonan reman.

Karunanithy juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan berkaitan dengan kes ini.

Show More

Related Articles

Back to top button