Kes curi duit tabung jenayah paling kerap di masjid, surau
KUALA LUMPUR – Sebanyak 49 kes kecurian duit tabung masjid dan surau direkodkan berlaku di negeri Perak sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, statistik itu menjadikan kes berkenaan jumlah kes tertinggi daripada 70 kes jenayah yang direkodkan.
Katanya, kes lain diikuti jenayah curi motosikal sebanyak 10 kes, pergaduhan (empat kes), curi peralatan surau (tiga kes), pecah masuk (dua kes) manakala merusuh dan memecah cermin kenderaan masing-masing merekodkan satu kes.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited untuk melaksanakan tugas memelihara keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah inisiatif kerjasama antara polis dan pihak masjid dengan mengadakan pelantikan Pegawai Perhubungan Masjid dalam kalangan pegawai dan anggota polis melalui Program 1 Masjid 1 Polis (1M1P) dalam usaha pencegahan jenayah.
“PDRM juga memuji tindakan sebahagian besar pengurusan masjid yang memanfaatkan perkembangan teknologi, dapat dilihat sebahagian besar masjid sekarang dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang sangat membantu pihak polis dalam mengukuhkan sesuatu pendakwaan kes,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 jemaah sempena Program High Profile Policing di Masjid India Muslim, di sini, hari ini.