Guru besar, jurujual cedera ditikam dengan pisau rambo
PETALING JAYA – Dua wanita termasuk guru besar sebuah ekolah agama dekat Kelana Jaya cedera selepas ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau rambo.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari tadi di Sekolah Agama Insaniah, Jalan SS5A/10, Kelana Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan di lokasi kejadian.
“Pada masa ini siasatan sedang dijalankan.
“Setakat ini saya dapat mengesahkan bahawa mangsa adalah dua wanita dan untuk makluman tempat kejadian adalah di tandas wanita yang mana menghubungkan sekolah agama dan surau penduduk kawasan berhampiran,” katanya memetik laporan BH sebentar tadi.
Sementara itu, berdasarkan maklumat diterima dua mangsa terbabit adalah membabitkan seorang guru besar dan jurujual telefon bimbit.
Difahamkan kedua-dua mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
Suspek seorang lelaki dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.