Jenayah & Mahkamah

Pemandu treler didakwa ambil dadah, memandu di bawah pengaruh dadah

ROMPIN – Seorang pemandu treler yang merempuh sebuah rumah hingga mengakibatkan kematian dua beradik pada 3 Ogos lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari.

Tertuduh, Muhammad Fadzil Zakaria, 40, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa memasukkan methamphetamine ke dalam tubuhnya dikesan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada sekitar pukul 4.10 petang pada 3 Ogos.

Bapa kepada seorang anak itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim memohon tertuduh dijamin RM3,000.

Peguam Ahmad Deniel Roslan, yang mewakili Fadzil, berkata anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,300 dan perlu menyara seorang isteri serta seorang anak kecil.

Ahmad Deniel berkata tertuduh berjanji untuk hadir ke mahkamah untuk prosiding dan bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan.

Melody Woon membenarkan jaminan RM1,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu treler di bawah pengaruh methamphetamine menyebabkan dia tidak boleh mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Nurnazzatul Fashihah Nasruddin, 32, dan Muhammad Waldan Faris Nasruddin, 21

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 5, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di Pekan kira-kira jam 4.15 pagi 3 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.

Bagi tuduhan itu, Melody Woon menetapkan jaminan sebanyak RM5,700 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Majistret juga mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Show More

Related Articles

Back to top button