Sekat siaran langsung RTM, jawapan Meta amat tidak memuaskan – Fahmi
PUTRAJAYA – Penjelasan Meta Platforms Inc (Meta) yang menyekat siaran langsung RTM di platform Facebook berkaitan Himpunan Pembebasan Palestin, kelmarin, amat tidak memuaskan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau kesal dengan sekatan itu dan penjelasan Meta tidak boleh diterima sama sekali sedangkan pemakluman sudah diberikan lebih awal supaya meminta kerjasama mereka untuk tidak memastikan berlaku gangguan.
“Mereka kata ada isu hak cipta membabitkan satu lagu dinyanyikan oleh Faizal Tahir.
“Tapi kenapa hanya siaran dari berita RTM disekat, bukan (media lain) sebagai contoh Harian Metro, ia bersiar seperti biasa dan tak ada sekatan,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, Meta memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak akan diturunkan.
Beliau berkata, jaminan itu diberikan oleh pegawai tertinggi Meta, bagi memastikan kelancaran siaran langsung tanpa sebarang gangguan bukan sahaja di platform media sosial pemimpin negara, tetapi juga oleh pihak media.
Ditanya reaksi wakil Meta ketika beliau menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan diberikan, Fahmi berkata, wakil syarikat itu hanya tersenyum.