Penurunan hantaran PM sedang disiasat Meta
KUALA LUMPUR – Meta Inc. yang memiliki Facebook sedang menyiasat isu penurunan hantaran di akaun rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak Meta mengenai tindakan itu petang tadi.
Katanya, Meta dalam satu mesej yang dikirim mendakwa mereka sendiri keliru mengenai perkara itu.
“Setakat ini, itu sahaja maklumat yang diberikan dan tiada lagi penjelasan lanjut.
“Kita beri mereka masa, tak ada deadline, biar mereka siasat dan komunikasi pun sedang berjalan, saya akan semak dan sebatang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui kenyataan media,” katanya kepada pemberita hari ini.
Fahmi berkata, selain tindakan penurunan hantaran terhadap Perdana Menteri, perkara yang sama juga berlaku kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang meneliti perkara itu untuk memastikan perkara sama tidak berulang.
Dalam kejadian awal pagi semalam, pemimpin utama Hamas itu terkorban selepas terkena serangan udara oleh tentera rejim Israel ketika menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian.