KPT lancar dashboard pantau indikator prestasi kementerian
PUTRAJAYA – Dashboard Pendidikan Tinggi yang dilancarkan hari ini akan digunakan sebagai pengukur kepada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) kesemua inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, input dan data pencapaian KPI kesemua inisiatif berkenaan akan dikumpulkan daripada bahagian, jabatan, agensi serta insititusi-insititusi pendidikan tinggi.
“Terdapat tiga inisiatif yang dipantau di dalam dashboard ini termasuk Pelan Tindakan Landasan Hala Tuju Pendidikan Tinggi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025(Pendidikan Tinggi) dan Kajian Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC).
“Selain itu, dashboard ini juga akan memaparkan kisah-kisah pencapaian insititusi-Insititusi pendidikan tinggi awam (IPTA),” katanya pada Majlis Pelancaran Dashboard Pendidikan Tinggi KPT dan Majlis Perhimpunan Bulanan KPT, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang, dan bekas Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Dr. Naledi Pandor.
Dashboard itu boleh diakses menerusi laman web KPT sebagai rujukan serta pemakluman inisiatif-inisiatif kementerian kepada orang awam.
Terdahulu, Zambry turut menyempurnakan sesi ‘flag off’ Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2024 peringkat KPT yang diadakan bagi menyemarakkan lagi pengisian pada tahun ini.