Luar Negara

Jenazah Ismail Haniyeh dijangka dikebumikan di Qatar – sumber Hamas

ANKARA – Jenazah Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang maut dalam serangan di Tehran, Iran semalam, akan dikebumikan di Qatar.

Menurut agensi berita Anadolu, yang memetik sumber Hamas, perbincangan mengenai pengebumian Haniyeh yang dirancang diadakan di Tehran sedang berlangsung dan beliau akan dikebumikan di ibu negara Qatar, Doha, menurut sumber yang memberitahu Anadolu dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Setakat ini Iran, Hamas, dan Qatar masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tempat persemadian akhir Haniyeh.

Terdahulu, media Iran melaporkan bahawa Haniyeh dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar 2 pagi waktu tempatan.

Serangan itu dilaporkan berlaku di rumah tamu untuk veteran perang yang diuruskan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Haniyeh berada di Tehran untuk majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, kelmarin.

Hamas juga mengeluarkan kenyataan di mana ia berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan ketua mereka yang dikatakan dibunuh di Tehran dalam serangan ‘khianat Zionis’.

Show More

Related Articles

Back to top button