Program Rakan Muda tidak boleh tertumpu di IPT – Hannah Yeoh
PUTRAJAYA – Sekretariat Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (SRM IPT) digalakkan untuk mengadakan program belia yang inklusif dan tidak terhad hanya kepada warga kampus.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program-program tersebut tidak semestinya berbentuk fizikal tetapi boleh menggunakan platform digital untuk memastikan capaian yang lebih meluas dalam kalangan belia.
“Bukan semua belia berada di IPT, jadi apabila SRM IPT mengadakan program di sesuatu tempat, mereka mungkin boleh pertimbangkan untuk melibatkan belia yang tinggal di kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dana SRM IPT di sini hari ini.
Mengenai dana SRM IPT, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1 juta untuk pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan Rakan Muda yang berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
Hannah berkata, bagi fasa pertama KBS telah meluluskan 16 permohonan berjumlah RM280,000.
Bagi fasa kedua, pihaknya sedang menilai 59 permohonan berjumlah RM1.18 juta daripada 23 SRM IPT.
“SRM IPT adalah sebuah sekretariat khusus yang ditubuhkan di IPT awam dan swasta dengan tujuan melaksanakan program dan aktiviti yang dapat menyerlahkan potensi serta membentuk sahsiah dan jati diri yang baik dalam kalangan pelajar IPT,” katanya lagi.