Berita Semasa

PM dijangka umum beberapa perkara penting berkenaan kajian SSPA Ogos nanti – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan beberapa perkara penting berkenaan hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan buat masa ini telah memuktamadkan inisiatif penambahbaikan gaji yang turut merangkumi pelarasan gaji penjawat awam.

“Secara dasarnya, pencen yang diterima oleh pesara dan penerima pencen akan turut diselaraskan mengikut Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980.

“Seksyen ini memperuntukkan pencen atau elaun pesaraan seseorang pegawai hendaklah diselaraskan sekiranya terdapat semakan gaji kepada pegawai awam yang sedang berkhidmat,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Jelasnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkenaan pelaksanaan SSPA yang akan menjelaskan mekanisma penyelarasan gaji secara terperinci.

Sebelum ini, menerusi beberapa ucapan Perdana Menteri memberi bayangan peratusan kenaikan gaji adalah sesuai dengan bebanan tugas pegawai awam dan telah mengambil kira kos sara hidup semasa.

Katanya lagi, beliau difahamkan kuantum kenaikan gaji bagi kakitangan awam gred rendah turut mengambil kira paras garis kemiskinan.

Show More

Related Articles

Back to top button