Berita Semasa

KDN akan mohon peruntukan tambah Baitul Mahabbah

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengusulkan penambahan penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penambahan pusat yang dikenali sebagai Baitul Mababbah itu akan dikemukakan menjelang Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober nanti.

“KDN akan mengusulkan pembukaan Baitul Mahabbah untuk mengeluarkan 1,300 kanak-kanak dari depoh tahanan Imigresen,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO), di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian berharap agar sekurang-kurangnya enam lagi Baitul Mahabbah dapat dibuka menerusi peruntukan di dalam Belanjawan 2025.

Jelasnya, kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah berpeluang mendapat pendidikan tidak formal selain diberi penjagaan kesihatan diri.

“Mereka boleh beraktiviti dan bermain dengan jauh lebih baik berbanding ditempatkan terus tahanan dewasa yang lain,” ujar beliau.

Buat masa ini, terdapat tiga Baitul Mahabbah yang sudah berfungsi iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Bekenu; Sarawak.

Sementara itu, tiga lagi dalam perancangan untuk dibuka tahun ini iaitu di Kedah, Kelantan dan Johor yang membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button