Paris 2024: Pasangan beregu campuran negara kejutkan pasangan nombor 2 dunia
PARIS – Pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Teoh Ee Wei mengejutkan pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dongping selepas menang dalam pertarungan tiga set sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu pasangan utama negara itu menundukkan pilihan kedua kejohanan itu dengan keputusan 17-21 21-15 21-16 sekali gus menjadi juara peringkat Kumpulan D.
Pada set pertama, Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan ketangkasan pasangan dari China itu apabila tunduk 17-21.
Di set kedua, pasangan negara itu mula menukar rentak dan strategi perlawanan dan berjaya menang dengan keputusan 21-15 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set penentuan, pasangan negara itu mula bermain dengan pantas dan membuatkan pasangan dari China itu melakukan banyak kesilapan sehingga meninggalkan mereka dengan mata yang jauh sebelum menang dengan keputusan 21-16.
Sementara itu Ee Wei ketika ditemui Astro Arena selepas perlawanan berkata, meskipun menjadi juara kumpulan, mereka tidak mahu fikir terlalu jauh.
“Bagi saya jangan fikir terlalu jauh dulu, apa yang kita buat ialah fokus satu-satu perlawanan.
“Walaupun pasangan dari China ini sangat kuat tetapi di Olimpik macam-macam boleh berlaku dan kami sangat gembira apabila dapat menang perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai persediaan di peringkat suku akhir, dia berkata, mereka sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasangan dan akan memberikan yang terbaik untuk negara.