KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menubuhkan Unit Data Sains sebagai satu langkah meningkatkan keupayaan dalam menangani jenayah komersil yang semakin kompleks termasuk akibat penggunaan teknologi kecerdaan buatan (AI).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penubuhan unit itu merupakan langkah dibuat pihaknya selain meningkatkan latihan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang dibuat secara berterusan.
“KDN ini satu kementerian yang sangat kaya dengan data, data ini sumber pendapatan baharu bukannya minyak atau sawit, dengan itu kita wujudkan Unit Data Sains ini untuk menganalisa kesemua data yang ada dalam KDN termasuk di bawah PDRM.
“Bila data ini kita analisis, kita boleh boleh hasilkan predictive model, kita boleh jangkakan apa yang akan berlaku, dan bila kita tahu kita boleh mitigate untuk kurangkan kesan itu,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai kesediaan kerajaan dalam menghadapi jenayah melibatkan AI, di Dewan Negara, hari ini.
Tambahnya, selain daripada jenayah komersil sedia ada jenayah telekomunikasi, kewangan, love scam, jenayah e-dagang, penipuan pelaburan, dan penipuan pinjaman yang dijangka semakin berleluasa pada masa hadapan, PDRM menjangkakan jenayah berbentuk AI Generative, akan mula menjadi trend.