Berita Semasa

MINDEF beri jaminan kes seumpama Zulfarhan tidak berulang

KUALA LUMPUR – Insiden buli sehingga mengakibatkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak akan berulang kepada mana-mana pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), demikian jaminan yang diberikan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, pihaknya percaya bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi perhatian agar perkara sama tidak berulang di semua universiti.

Beliau berkata, kawalan dan pengawasan bagi UPNM bukan 100 peratus di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

“UPNM sebagai universiti adalah tertakluk di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, tapi daripada segi hubungan dengan Kementerian Pertahanan, kampus terletak dalam kawasan kita dan visi datang daripada kita.

“Jadi dalam hal ini, kita juga beri perhatian dan sampaikan kepada pihak pengurusan universiti untuk pastikan ia tidak berlaku di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini, hari ini.

Tambah Khaled, kejadian berkenaan berlaku pada 2017 dan beliau percaya selepas itu tiada lagi insiden serupa.

“Saya percaya selepas itu tiada lagi perkara-perkara ini berlaku. Jadi maknanya mungkin tindakan yang sewajarnya sudah diambil oleh pihak universiti,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button