Automatif & Teknologi

41 NADI akan beroperasi di Pulau Pinang sebelum hujung tahun ini – MCMC

GEORGE TOWN – Sebanyak 41 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan beroperasi sepenuhnya di Pulau Pinang sebelum hujung tahun ini.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), daripada jumlah tersebut, 34 NADI sudah pun memulakan operasi manakala baki tujuh NADI lain masih dalam proses pelaksanaan.

“Dengan perancangan ini, warga Pulau Pinang boleh menikmati perkhidmatan yang ditawarkan di NADI menerusi penyusunan semula program-program sedia ada berpandukan kepada lima teras utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan.

“Objektif penyusunan semula program ini adalah untuk memperkasakan komuniti di samping memastikan akses dan peluang yang sama rata untuk komuniti setempat sambil menangani keperluan khusus mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam memastikan perancangan yang dibuat berjalan lancar, Timbalan Menteri
Komunikasi, Teo Nie Ching petang tadi telah mengadakan lawatan kerja ke NADI Pengkalan Kota di George Town.

Turut menyertai lawatan kerja ini ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ketua Bahagian Koordinasi negeri MCMC, Bukhari Yahya; Pengarah negeri MCMC Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim, dan wakil-wakil penyedia perkhidmatan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sedang meneliti operasi NADI Pengkalan Kota, George Town.

Pembinaan NADI baharu ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan di bawah insiatif satu Dewan Undangan Negeri (DUN), satu NADI.

Melalui inisiatif ini, sebanyak 1,097 NADI akan beroperasi menjelang akhir 2024 dan setakat suku kedua tahun ini, sebanyak 950 NADI telah siap dan beroperasi manakala selebihnya dalam peringkat pelaksanaan.

MCMC komited memastikan penyediaan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat selain memperkasa komuniti melalui perkhidmatan pintar yang holistik dan mampan serta menjadikan NADI sebagai pusat sebaran maklumat berkenaan dengan inisiatif kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button