Berita Semasa

Pelbagai acara menarik di Menara KL sepanjang Merdeka Madness tahun ini

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ pada tahun ini, Menara Kuala Lumpr menawarkan diskaun sebanyak 60 peratus melalui Kempen Merdeka Madness.

Kempen yang bermula dari 1 Ogos hingga 16 September 2024 itu merangkumi promosi dan pelbagai acara serta aktiviti yang dapat menarik kedatangan pengunjung ke Menara Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd, Nazli Saad berkata, antara aktiviti yang akan diadakan adalah Colours of Malaysia Tower Lighting, sayembara puisi kemerdekaan, pertandingan fotografi kemerdekaan, jualan trak makanan dan minuman, persembahan muzik dan kebudayaan, festival durian, dan banyak lagi.

“Inisiatif promosi Merdeka Madness ini diadakan untuk kali yang kedua adalah kerana melihat sambutan yang sangat mengalakkan daripada pengunjung pada promosi ini tahun lepas.

“Ianya juga merupakan tanda penghargaan kami kepada rakyat Malaysia, di mana para pengunjung tempatan dapat menikmati diskaun sebanyak 60% bagi tiket masuk ke semua tarikan di Menara Kuala Lumpur,” katanya pada majlis perasmian Merdeka Madness hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Nazli berkata, harga tiket bagi lawatan ke Sky Deck adalah RM28.00 (dewasa) dan RM15.00 (kanak-kanak), manakala tiket bagi lawatan ke Observation Deck adalah RM12.00 (dewasa) dan RM8.00 (kanak-kanak).

“Kami juga turut menawarkan harga terendah bagi kemasukan ke Tower Walk 100, iaitu RM8.00 (dewasa) dan RM6.00 (kanak-kanak),” katanya.

Harga yang ditawarkan oleh Menara Kuala Lumpur sempena Merdeka Madness ini amat berbaloi untuk para pengunjung nikmati dan ianya juga adalah hadiah istimewa kepada para pengunjung yang sentiasa menyokong Menara Kuala Lumpur sejak tahun 1996 sehingga kini.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini, sila hubungi talian khidmat pelangan MenaraKuala Lumpur di 03-2020 5421 atau layari media sosial rasmi Menara Kuala Lumpur – Facebook, Instagram, dan TikTok / laman sesawang www.kltower.com.my.

Show More

Related Articles

Back to top button