Kerajaan setuju beri kelonggaran untuk keluarkan e-Invois yang disatukan
CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi semua transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, menerusi kelonggaran itu ia membenarkan semua aktiviti atau industri untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan termasuk e-Invois bil kendiri.
Selain itu, pihaknya juga membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan keterangan produk atau perkhidmatan dan jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, penjual juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi.
“Pihak LHDN juga mengesahkan, dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada
tindakan pendakwaan di bawah seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan seperti dinyatakan di atas.
“Tempoh kelonggaran yang diberikan ini diharap akan memberi ruang masa yang
mencukupi kepada pembayar cukai untuk memastikan pelaksanaan e-Invois
sepenuhnya yang lebih efektif meliputi kesemua aspek seperti ketersediaan sistem, kelancaran operasi perniagaan dan pengurusan perubahan dalam perniagaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi mengiktiraf pembayar cukai yang berjaya
melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan (tanpa menggunakan kelonggaran di atas), pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada tiga
tahun kepada dua tahun akan diberikan bagi pembelian peralatan ICT dan pakej
perisian komputer berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran (TT) 2024 hingga TT 2025.
Katanya, sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan e-Invois boleh disalurkan melalui Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam); MyInvois Live Chat; e-mel myinvois@hasil.gov.my bagi pertanyaan umum e-Invois; dan Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan
https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.