Jenayah & Mahkamah

Kes kematian Zulfarhan: Keputusan rayuan 18 bekas penuntut UPNM diketahui hari ini

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin dijangka akan membacakan keputusan pada jam 9 pagi ini.

Selain itu, mahkamah juga akan membuat keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut UPNM yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Merela ialah ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap semua tertuduh serta 12 yang lain selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana mencederakan Zulfarhan Osman.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 selepas didera rakan-rakanya kerana dituduh mencuri komputer riba.

Show More

Related Articles

Back to top button