[KEMAS KINI] Kes bunuh Farah Kartini: Polis temukan dompet, kad pengenalan
TROLAK – Polis berjaya menemukan dompet serta kad pengenalan dipercayai milik allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu 4 di sini, kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi.
Difahamkan bahan bukti tersebut ditemui selepas beberapa jam operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, anggota unit yang melakukan pencarian di kawasan itu menemukan satu kunci kereta pada pukul 11.20 pagi, namun tidak dapat dipastikan pemiliknya.
Jarak penemuan barangan tersebut kira-kira 300 meter daripada jambatan.
Keadaan air sungai agak cetek dan jernih kerana tidak hujan sejak semalam yang memudahkan proses pencarian bahan bukti.
Terdahulu, reman suspek lelaki yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut disambung tujuh hari lagi.
Perintah sambung reman mulai Selasa sehingga 29 Julai itu dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.