Datuk Awang Bemee dilantik YDP Dewan Negara yang baharu
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Usul tersebut dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Dewan Negara pagi ini.
“Pemilihan Datuk Awang selaras Peraturan Mesyuarat 2(1) berdasarkan pengalaman beliau yang luas,” kata Anwar.
Terdahulu, Awang Bemee menggantikan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia, pada Mei lalu.
Dilahirkan pada 22 Jun 1959, Awang Bemee
pernah menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya itu merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.