Pengasas Malakat Mall nafi tuduhan sebagai scammer
CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwanya sebagai ‘scammer’.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, sepanjang menjalankan perniagaan itu tiada kakitangan yang tidak dibayar gaji.
“Mereka kata saya scammer, ini fakta yang mana tiada staff yang tidak dibayar gaji. Kami sedang kerjasama dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyelesaikan tunggakan KWSP.
“Saya bukan owner Quantum Metal (QM). Brainy Bunch (BB) kekal kukuh dengan jualan tahunan RM100 juta. Tuduhan BB Akan tutup adalah fitnah jahat,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu Coach Fadzil berkata, pihaknya juga tidak pernah memotong gaji kakitangan dan membelanjakan kira-kira RM19.2 juta untuk bayaran gaji, utiliti dan sewa sepanjang tempoh empat tahun beroperasi.
Menyentuh mengenai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) katanya, dana koperasi itu yang digunakan ialah RM22 juta manakala dana miliknya sendiri digunakan ialah sebanyak RM70 juta untuk projek Malakat Mall.
Pada masa sama, beliau juga mengulangi komitmen untuk membantu membeli saham ahli KoPPIM.
Mengulas lanjut, Coach Fadzil turut menafikan perniagaan itu akan ditutup sepenuhnya sebaliknya hanya pusat beli belah di Cyberjaya dihentikan operasi.
“Kami pindah ke bangunan sendiri depan Malakat untuk FNB. Retail ke Malakat.com untuk fokus online.
“Pelaburan KoPPIM belum lebur. Masih ada grocer di Taman Kosas dan pindah ke online,” ujarnya.
Sementara itu, Coach Fadzil turut mengakui terdapat kesilapan daripada pihaknya dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berterusan menyokongnya selama ini.
“Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kami tak berjaya laksanakan pelan perniagaan kami. Kami dah cuba sedaya kami.
“Ya kami banyak silap untuk org baru dalam retail mengharungi PKP adalah suatu yg sangat sukar. Jika tak tahu jangan kecam dan keji. Nak dengar cerita betul mari datang jumpa.
“Terima kasih kepada yg menyokong kami selama ini,” ujarnya.