Jenayah & Mahkamah

Kes bunuh Farah Kartini: Polis teruskan usaha cari bukti di Sungai Trolak

HULU SELANGOR – Operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah diteruskan lagi hari ini di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, pihaknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada lokasi kedua itu dengan operasi bermula pada pukul 10 pagi.

“Ya betul (tumpuan di Sungai Trolak). Fokus di sana,” katanya ringkas, hari ini kepada portal Harian Metro.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada polis akan meneruskan siasatan di lokasi utama pembunuhan iaitu ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Ahmad Faizal memaklumkan, ia bergantung kepada siasatan forensik.

Semalam, pasukan penyiasat menemukan sebuah beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25, ketika operasi pencarian bahan bukti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.

Sebelum itu beliau turut mengesahkan penemuan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

Nur Farah Kartini ditemukan mati di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada pukul 6 petang, Isnin lalu.

Susulan itu, polis menahan lelaki yang disahkan anggota polis berusia 26 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button