Berita Semasa

Kerajaan Selangor rancang perluas Esport ke peringkat sekolah

SEPANG – Kerajaan negeri Selangor merancang untuk memperluaskan aktiviti Esport ke peringkat sekolah.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, inisiatif itu akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum sebarang pelaksanaan dilakukan.

“Saya ada berbincang dengan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli tadi untuk cuba berbincang dengan pihak KPM supaya memberi peluang dan ruang kepada kerajaan negeri dalam mencungkil bakat berkaitan sukan Esport di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Akan tetapi, kita akan bergerak mengikut kerangka yang dibenarkan oleh KPM. Kita tidak mahu berlaku salah tafsir terhadap permainan digital. Maksudnya, perancangan dan pelaksanaan itu perlu melalui proses yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giant (SRG) Esport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Dalam pada itu, katanya inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan pihaknya dalam membangunkan sukan Esport di peringkat akar umbi.

“Kami akan pastikan program atau projek pembangunan Esport diteruskan selepas ini.

“Kami mensasarkan kepada program pembangunan di peringkat akar umbi seperti peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan daerah di mana kita cuba memberi pendedahan yang lebih besar kepada belia khususnya mereka di luar bandar,” ujarnya.

Jelas beliau, menerusi inisiatif tersebut orang ramai akan mendapat peluang untuk sekurang-kurangnya meneroka dan menceburi bidang itu.

Selain itu, ia juga dapat memudahkan pihaknya dalam mencari bakat baharu yang berpotensi untuk bertanding di peringkat tinggi seperti pasukan SRG.

Show More

Related Articles

Back to top button