Berita Semasa

Hari PR Sedunia: IPRM sokong Akta Pengamal PR

KUALA LUMPUR – Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) komited untuk untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam penggubalan Akta Pengamal Perhubungan Awam (PRPA) yang inklusif bagi menyokong landskap perhubungan awam di Malaysia yang semakin berkembang.
 
Menurut IPRM, dengan memperjuangkan amalan komunikasi yang bertanggungjawab dan menjaga integriti profesion perhubungan awam, IPRM berusaha untuk mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih beretika dan boleh dipercayai.
 
Presidennya, Jaffri Amin Osman berkata, IPRM akan terus memainkan peranan penting dalam melindungi dan membangunkan profesion melalui program pembangunan pendidikan dan profesionalnya.
 
“Ini adalah kritikal terutamanya dengan kemajuan dalam teknologi komunikasi yang boleh digunakan dengan mudah untuk mengelirukan, menyeleweng dan salah urus atau salah nyata kepada khalayak sasaran,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari PR Sedunia yang disambut pada hari ini.

Mengulas lanjut, Jaffri berkata, Akta itu bukan bertujuan untuk mengawal selia industri secara sempit tetapi untuk menyediakan asas yang kukuh dalam membangunkan profesion PR dan komunikasi untuk diiktiraf sebagai amalan profesional dan mantap serta untuk meningkatkan kedudukan negara kita dalam industri.

Dalam pada itu, felow kanan IPRM merangkap bekas presiden dan profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Professor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, semua eksekutif PR dan komunikasi perlu mengamalkan komunikasi yang bertanggungjawab.

“Komunikasi yang bertanggungjawab mesti faktual, menyampaikan maklumat yang dipercayai selain memberi manfaat kepada individu dan masyarakat serta beretika.

“Editor media harus menerima siaran akhbar dan kenyataan yang betul, tepat dan bertanggungjawab. Saya percaya Akta PR yang dicadangkan boleh menyuburkan tahap profesionalisme dalam amalan kita,” katanya.

Untuk rekod, Hari PR Sedunia disambut pada 16 Julai setiap tahun sebagai mengiktiraf peranan penting perhubungan awam (PR) dalam membentuk pendapat umum, memupuk kepercayaan dan memacu komunikasi yang berkesan.

Sementara itu, Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab (ICERC) anjuran IPRM di Putrajaya hari ini menjadi bukti dedikasi IPRM dalam menegakkan piawaian amalan etika dalam industri.

Fahmi Fadzil (tengah) menghadiri Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab (ICERC) anjuran IPRM di Putrajaya hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi bersama The Global Alliance for PR and Communication Management Switzerland yang turut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button