Bekas menteri agama mengaku kena ‘Deepfake’
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri mendedahkan beliau pernah menjadi mangsa teknologi kecerdasan buatan (AI) dan telah membuat laporan mengenainya.
Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, Dr. Zulkifli berkata, dia dimaklumkan mengenai penggunaan video yang memaparkan muka beliau dalam iklan promosi produk dan pelaburan.
“Sudah ada dua, tiga video dengan wajah dan suara saya yang diubah suai menggunakan AI, untuk menipu orang ramai melalui penjualan produk kesihatan dan pelaburan.
“Saya dimaklumkan sudah ada yang terpedaya dengan modus operandi tipuan (scam) ini.
“Pihak pejabat saya telah buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.
Kemajuan AI yang menggunakan teknologi deepfake kini boleh diperolehi dengan mudah melalui apllikasi di telefon pintar.
Sebelum ini, penyanyi popular tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui akaun Instagramnya mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menggunakan wajahnya untuk mempromosikan perniagaan.