Jenayah & Mahkamah

17 bekas pensyarah Widad terima pampasan RM1.4 juta

PETALING JAYA – Mahkamah Perusahaan di sini memerintahkan sebuah institusi pengajian tinggi swasta membayar pampasan sekitar RM1.4 juta kepada 17 pensyarah yang dipecat secara tidak adil.

Pengerusi Mahkamah, Nur Fauzah Mokhtar berkata, arahan itu diputuskan selepas mendapati hujah pentindihan jawatan pensyarah tidak wajar dijadikan alasan untuk pemberhentian mereka.

Selain itu, beliau tidak yakin bahawa pemilihan pensyarah dibuat selaras dengan prinsip umum pemberhentian.

“Widad Education Sdn. Bhd. yang mengendalikan Kolej Universiti Widad dan Kolej Widad tidak memberikan bukti mencukupi untuk membuktikan ia mengambil langkah pemotongan kos yang ketara bagi mengelakkan pemberhentian.

“Tiada langkah pengurangan kos lain diambil selain memecat pensyarah bagi mengurangkan kos operasi dan perbelanjaan kolej.

“Syarikat itu juga tidak menawarkan sebarang alternatif kepada mereka untuk dipecat,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah terlibat diberi pampasan sebanyak antara RM51,150 dan RM114,767 setiap seorang sebagai ganti pengembalian semula, gaji tertunggak dan cuti tahunan yang tidak digunakan.

Mengulas lanjut, pensyarah terbabit juga mendakwa pemberhentian itu dilakukan dengan niat jahat kerana tiada perbincangan atau notis berhubung status dan keadaan kewangan syarikat dimaklumkan kepada mereka terlebih dahulu.

Bahkan apabila ditanya kriteria pemilihan pemberhentian itu, tiada seorang pun saksi syarikat berkenaan mampu menyatakan jawapan secara muktamad meskipun mereka bertanggungjawab dalam pemecatan pensyarah terbabit.

“Syarikat itu juga memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji yang tidak digunakan selama dua minggu sebelum pemberhentian.

“Mereka juga tidak dapat membayar gaji pekerja serta bekas pekerja Kolej Shahputra yang telah dibelinya.

“Potongan cukai bulanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga tertunggak,” ujar salah seorang pensyarah terbabit seperti dilaporkan FMT.

Menurut Widad Education, pihaknya mengalami kerugian sebanyak RM19 juta dari 2016 hingga 2020 akibat penurunan kemasukan pelajar.

Syarikat itu berkata, gaji tertunggak dan yuran statutori sebelum pemberhentian pensyarah berjumlah RM5.89 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button