Luar Negara
FBI sahkan identiti penembak Trump
WASHINGTON – Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan identiti suspek yang terlibat dalam insiden cubaan bunuh bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump hari ini, sebagai Thomas Matthew Crooks.
FBI dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, Crooks,21, berasal dari Bethel Park, Pennsylvania.
Bagaimanapun, biro tersebut masih belum mendedahkan motif insiden berkenaan.
Dalam kejadian itu, Trump, yang kini sedang dalam rangka kempen bagi pilihan raya, dilaporkan cedera di telinga kanannya.
Seorang penyokongnya dilaporkan terbunuh, manakala dua lagi tercedera.
Penembak tersebut turut terbunuh akibat tembakan pasukan anti-penembak tepat yang berada di lokasi.