Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kes keropok beracun: “Mustahil keropok dicapai kanak-kanak dengan mudah” – waris pekebun

BALING – Waris pekebun mendakwa mustahil bagi dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun untuk mencapai keropok beracun yang digantung tinggi dan diikat rapi itu dengan mudah.

Dia yang dikenali sebagai Am, 35, berkata, keropok tersebut disyaki diusik sama ada oleh orang dewasa atau haiwan liar yang berada di sekitar kawasan itu.

“Agak mustahil keropok yang dicampur racun itu dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter dan diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi itu mampu dicapai kanak-kanak kecil.

“Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan,” katanya memetik laporan BH.

Am berdasarkan makluman adiknya turut mendakwa bahawa keropok itu tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.

“Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ,” ujarnya.

Terdahulu, dua kanak-kanak dilaporkan kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun yang digantung di pagar dawai besi.

Semalam, seorang daripada dua beradik yang terbabit telah meninggal dunia manakala seorang lagi masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Pada masa ini, seorang pekebun yang juga merupakan adik Am telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Show More

Related Articles

Back to top button