Berita Semasa

JAIS sahkan Ustaz Don sudah beri kenyataan bertulis

PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sudah membuat kenyataan bertulis berhubung fakta ceramah agama yang dilakukannya sebelum ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata, Ustaz Don Daniyal telah menghantar kenyataan tersebut kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kelmarin.

“Jawatankuasa tauliah telah menerima pada hari Selasa baru-baru ini,” katanya ringkas, menurut laporan Kosmo Online.

Mohd. Shahzihan bagaimanapun tidak mengulas lanjut ketika ditanyakan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil susulan penerimaan surat berkenaan.

Laporan tersebut turut menyebut, pengurus Don Daniyal, Anna mengesahkan bahawa pihaknya sudah menghantar dokumen yang diminta kepada JAIS.

“Kami sudah menghantarnya. Selebihnya boleh bertanyakan kepada pihak JAIS, terima kasih,” katanya.

JAIS, pada 21 Jun lalu, telah mengeluarkan arahan supaya semua agensi, masjid dan surau untuk menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal untuk sebarang acara.

Ini berikutan pendakwah tersebut sering terkait kontroversi melibatkan kandungan ceramah sirah nabi.

Pada 27 Jun pula, laporan media memaklumkan bahawa Don Daniyal diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi ­kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Langkah tersebut dilakukan supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah terbabit.

Show More

Related Articles

Back to top button