Bukan tutup pagar sepenuhnya, laporan polis masih boleh dibuat seperti biasa – KDN
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan penutupan pagar balai polis bukanlah bermaksud tutup sepenuhnya, tetapi sebagai langkah kawalan.
Menurutnya dalam satu kenyataan, laporan polis yang ingin dibuat oleh masyarakat masih terbuka dan tiada halangan.
“Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan tersebut ditafsirkan semula oleh sesetengah pihak sebagai “tutup pagar” secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya semalam.
Dalam pada itu katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam secara prinsipnya merujuk garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman.
Semalam, media melaporkan pagar balai polis akan ditutup selepas pukul 10 malam berdasarkan jawapan Saifuddin ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot pada Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen tentang langkah-langkah untuk memperketat keselamatan ekoran insiden di Balai Polis Ulu Tiram.
Menurut Saifuddin, langkah yang telah dilaksanakan itu dijadikan satu prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah arahan Ketua Polis Negara (KPN).
Beliau berkata, pelaksanaan SOP baharu itu juga diambil sebagai satu tindakan untuk mengimbangi keperluan tanggungjawab terhadap masyarakat dan keselamatan anggota yang bertugas.