Dollah Salleh dilantik Ketua Jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang
GEORGETOWN – Bekas Ketua Jurulatih Pahang, Datuk Dollah Salleh secara rasminya dilantik sebagai Ketua Jurulatih bagi skuad Piala Emas Raja-raja Pulau Pinang untuk musim ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Pulau Pinang, selepas mengumumkan jurulatih Dollah Salleh, sesi pemilihan pemain juga akan diadakan.
Katanya, Dollah Salleh yang terkenal dengan pengalaman dan kejayaannya dalam arena bola sepak tempatan, dijangka akan membuat pemilihan pemain yang dimahukan beliau dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Kejohanan Piala Emas Raja-Raja yang ke-102 kali ini akan menyaksikan penyertaan daripada 16 pasukan dari seluruh negara.
Kejohanan yang berprestij ini akan berlangsung dalam format karnival selama dua minggu pada bulan Oktober, dengan negeri Melaka menjadi tuan rumah.
Keputusan pelantikan ini disambut baik oleh para peminat dan pemain, dengan harapan tinggi untuk melihat pencapaian cemerlang pasukan di bawah bimbingan beliau.
Terdahulu, Piala Emas Raja-Raja (PERR) merupakan kejohanan bola sepak yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia.
PERR telah dilangsungkan sejak tahun 1922, dengan beberapa siri perubahan berkaitan dengan nama kejohanan.
Pasukan yang menyertai kejohanan PERR terdiri daripada pasukan negeri yang dikendalikan oleh persatuan bola sepak Melayu di negeri masing-masing.