Warga Bangladesh raih RM300,000 sebulan jual pasport tiruan
PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 24 tahun dipercayai mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 sehari melalui penjualan pasport palsu kepada warga asing pelbagai negara di sekitar Kuala Lumpur.
Itu maklumat yang dikongsikan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (M) daripada penahanan individu dipercayai dalang sindiket berkenaan dalam operasi khas di sekitar Chow Kit, semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu itu mengenakan bayaran RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport dan mampu menghasilkan antara 50 hingga 100 naskah pasport sehari.
Katanya, operasi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 24 tahun di hadapan sebuah hotel.
“Hasil soal siasat, pasukan operasi diatur gerak ke sebuah bilik hotel yang dijadikan markas aktiviti suspek.
“Hasil semakan awal mendapati, suspek memiliki pas pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, siasatan awal mendapati suspek beroperasi secara sendirian dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu pelbagai negara kepada warganegara asing.
“Pasukan operasi telah merampas sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak, 37 naskah pasport Bangladesh disyaki palsu, dua naskah pasport India disyaki palsu, enam naskah pasport Indonesia disyaki palsu.
“Turut dirampas adalah 43 keping kulit pasport Bangladesh, 29 keping kulit pasport India, 18 keping kulit pasport Indonesia, lima keping kulit pasport Filipina, tujuh keping kulit pasport Nepal.
“JIM juga merampas sembilan helai dokumen e-visa elektronik disyaki palsu, empat helai borang pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) disyaki palsu, kertas yang bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu,” katanya.
Ruslin berkata, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Seorang lelaki warganegara tempatan diberikan Notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.