Syeikh Al-Azhar berlepas pulang
SEPANG – Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb hari ini menamatkan lawatan khas selama empat hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.
Penerbangan komersial membawa Sheikh Al-Azhar berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada pukul 9 pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Ketika rangka lawatan beliau bermula Selasa lepas, Sheikh Al-Azhar turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara semalam.
Sheikh Al-Azhar turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas.
Anwar menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.
Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar yang dikenali sebagai ketua ilmu telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.