Nasib pelajar OKU cemerlang, Raja Amirul dapat perhatian MARA
PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU), Raja Amirul Mukim, 18, yang baru-baru ini tular meminta bantuan kewangan untuk mendaftarkan diri masuk ke program asasi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu akan diberikan pada masa terdekat
“Ada netizen yang tag nama saya mengenai berita pelajar OKU yang cemerlang dalam SPM hadapi kekangan kewangan untuk masuk ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Insya-Allah, saya sudah minta Yayasan Pelajaran MARA untuk bantu segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya bakal pelajar institusi pendidikan MARA tidak menarik diri atau menangguh penerimaan gara-gara wujud masalah kewangan.
Katanya, beliau sudah meminta pihaknya untuk memudahkan proses kemasukan pelajar lain yang juga mengalami nasib sama.
Terdahulu, Oh! Media melaporkan Raja Amirul Mukim memerlukan bantuan kewangan untuk mendaftarkan diri masuk ke program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gambang.
Menurut laporan itu, pelajar berkenaan memerlukan RM7,000 untuk menampung kos setahun bagi program itu, termasuk RM2,110 untuk yuran pendaftaran.