Jenayah & Mahkamah

Lelaki rentung dalam kemalangan ada rekod jenayah

MUAR – Seorang lelaki yang rentung dalam kereta yang terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis disini semalam, didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan tersenarai sebagai individu dikehendaki berkaitan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semakan polis mendapati, lelaki berusia 34 tahun itu pernah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek pernah ada kes dan dijatuhi hukuman berkaitan jenayah. Pada masa sama juga dia dikehendaki polis dalam kes dadah,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz berkata, dua anggota polis yang turut terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedarkan diri.

Menurutnya, Koperal Muhd Kasbi Muharuddin, 40, dan Koperal Mohd Sofian Hamzah, 41, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Kami bertemu dan menyantuni keluarga anggota terbabit di luar wad ICU dengan memberikan kata-kata semangat dan bersabar atas kejadian berlaku.

“Kebajikan dan bantuan yang diperlukan diberi kepada dua anggota terbabit dan keluarga sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi semalam, suspek mati rentung selepas Toyota Vios dipandunya terbabas ke dalam parit ketika melarikan diri daripada polis.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Show More

Related Articles

Back to top button