Berita SemasaJenayah & Mahkamah

JIM tahan 75 warga asing dalam serbuan lapan pusat pelacuran

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran warga asing dalam Operasi Khas di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pada pukul 1.45 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Operasi dilakukan di lapan lokasi berasingan iaitu dua di Jalan Tun Razak dan enam di Jalan Pudu di Kuala Lumpur, Kampung Baru Subang di Shah Alam, Pusat Bandar Puchong di Puchong, Taman Andalas Jaya, Taman Bayu dan Klang Central di Klang.

“Hasil risikan sejak dua minggu lalu, JIM berjaya menahan 32 perempuan warganegara Indonesia, 11 perempuan Bangladesh, lapan Vietnam, enam perempuan India, tujuh lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Indonesia yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Turut ditahan, tujuh lelaki warga tempatan dan seorang perempuan warga tempatan berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 65 tahun.

Ruslin berkata, semakan awal mendapati, 13 perempuan warganegara Indonesia dan empat perempuan warganegara Vietnam yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku sementara dua perempuan Indonesia dan seorang perempuan Vietnam telah tinggal lebih masa.

Manakala warganegara asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah merampas satu telefon bimbit, 15 naskhah pasport Indonesia, lima naskah pasport Vietnam, wang tunai sebanyak RM1,750, satu set komputer dan 10 buah buku kerja daftar pelanggan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button