Copa America 2024: Argentina mara separuh akhir menang sepakan penalti lawan Ecuador
TEXAS – Juara bertahan Copa America, Argentina mara ke separuh akhir Copa America 2024 selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 ke atas Ecuador pada perlawanan suku akhir di Stadium NRG, di sini, sebentar tadi.
Perlawanan suku akhir yang dimainkan selama 90 minit itu berakhir dengan seri 1-1, disusuli terus dengan penentuan sepakan penalti tanpa masa tambahan.
Argentina tampil bermain dengan corak permainan bertahan hampir sepanjang perlawanan namun, mereka menemui jaringan dahulu 1-0 pada minit ke-34 sebelum rehat separuh masa pertama.
Gol Argentina hadir menerusi sepakan sudut yang dihantar dengan baik untuk pemain pertahanan, Lisandro Martínez sambil tidak dikawal sebelum melakukan tandukan ke dalam gawang Ecuador.
Ecuador juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama dengan percubaan menerusi pemain Chelsea, Moises Caicedo dan Kendry Paez namun, keampuhan benteng Argentina menggagalkan mereka.
Pada separuh masa kedua Ecuador dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Argentina di dalam kotak pada minit ke-62.
Namun, pemain veteran Ecuador, Enner Valencia mengambil sepakan penalti tersebut gagal menjaringkannya kerana sepakannya yang terkena tiang.
Ketika minit akhir permainan, Ecuador berjaya menjaringkan gol hasil umpanan daripada John Yeboah yang menemui Kevin Rodríguez untuk menanduknya melepasi penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
Penentuan sepakan penalti menyaksikan bintang Argentina Lionel Messi gagal menjaringkan gol apabila sepakan “Panenka” beliau terkena palang.
Namun, Argentina berjaya menjaringkan empat gol lain manakala Ecuador hanya mampu mendapatkan dua jaringan sahaja kerana berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.